Laman Utama
Laporan Program Lawatan Integrasi Ke Sarawak PDF Print E-mail

 TOPIK LAPORAN

 

 

LAPORAN PROGRAM LAWATAN INTEGRASI AHLI KELAB RUKUN NEGARA KE SARAWAK PADA

14 – 18 DISEMBER 2008

 

 

DISEDIAKAN UNTUK

JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL

 

 

DISEDIAKAN OLEH

NARENDREN NAIR A/L KANAN

 

 

 

PENGENALAN

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional kerana memberi saya satu peluang keemasan untuk melawat Sarawak dan mengenali secara lebih dekat cara hidup dan adapt resam masyarakat Sarawak.

Setiap pengalaman yang saya lalui adalah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.  Inilah kali pertama saya menginap di sebuah hotel di kota Kuala Lumpur.  Saya telah menginap di hotel di negeri-negeri lain tetapi ini adalah kali pertama saya menginap di hotel Kuala Lumpur. 

Saya telah berasa gembira dan seronok kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan saya yang terpilih semasa di ‘Bengkel Menghayati Kemerdekaan, Memantapkan Budaya Perpaduan’ siri Ke-2 di MITC, Melaka.  Selain itu, saya juga bukan saja dapat bertemu rakan-rakan bengkel di Esset Bangi dan mahasiswa-mahasiswi dari universiti malah telah dapat mengenali mereka dengan lebih rapat. 

 

15 DISEMBER 2008

15 Disember 2008 merupakan hari yang sangat penting dalam hidup saya dan saya tidak akan melupakan hari tersebut kerana pada hari itulah pertama kalinya saya menaiki kapal terbang dalam hidup saya.  Saya pernah pergi ke lapangan terbang untuk menghantar dan menjemput saudara-mara saya, tetapi ini kali pertama saya telah ke lapangan terbang untuk menaiki kapal terbang.  Pengalaman saya dalam kapal terbang memang menakjubkan.  Tetapi, saya telah mengalami kesakitan telinga yang teramat sangat akibat tekanan rendah semasa berlepas dari KLIA dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. 

Sesudahnya sampai di Kuching, saya terasa terlalu seronok kerana inilah kali pertama saya ke tanah negeri Sarawak.  Pengalaman dari lapangan terbang ke hotel Grand Continental di mana kami menginap memang memberi saya satu pemandangan yang tidak pernah saya lihat di Semenanjung kerana sebahagian besar kawasan di daerah Kuching dipenuhi tumbuh-tumbuhan hijau, sungai dan bukit-bukit kecil, sementara di semenanjung , ia dipenuhi dengan bangunan.

Di Hotel Grand Continental, satu kelemahan yang saya terasa adalah, peserta-peserta dari bengkel yang sama di semenanjung ditempatkan dalam bilik yang sama, iaitu peserta-peserta dari MITC, Melaka bertigaan dalam satu bilik, peserta-peserta dari Esset dalam satu bilik, sementara peserta Universiti dalam satu bilik.

Saya bercadang bahawa peserta perlu dibahagikan seperti berikut: contoh; seorang dari esset dan seorang lagi dari universiti.  Dengan ini, tahap integrasi dan perpaduan di antara peserta dari berlainan tempat dapat ditingkatkan.

Selain itu, aktiviti Slot Bicara Minda telah memberikan satu ide luas tentang perbezaan di antara seorang duta dan seorang sahabat.  Saya telah dapat merasai kerjasama diantara peserta-peserta dalam melaksanakan tugasan yang diberi dan cara peserta meluahkan ide mereka dari semua aspek memberikan satu penyedaran kepada semua peserta lain untuk mendalami kesefahaman perpaduan dan tugas mereka sebagai seorang rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia dan tanggungjawab mereka dalam mempromosikan nilai-nilai di Malaysia kepada seluruh dunia sebagai seorang duta perpaduan.  Ini merupakan satu kekuatan program lawatan ini kerana ia telayh memberikan satu impak yang positif kepada semua peserta berkenaan perpaduan Negara.  Lagipun, program Majlis Makan Malam Bersama Persatuan Siswazah Malaysia Cawangan Sarawak yang dihoskan oleh YB Datuk Hjh. Rohani binti Haji Abdul Karim, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Pengerusi Persatuan Siswazah Malaysia Cawangan Sarawak juga memberikan satu pengalaman yang menarik kerana disini semua peserta telah memakai pakaian tradisional kaum masing-masing yang menjadi satu kekuatan program ini dalam mempamerkan perpaduan antara kaum dengan lebih jelas. 

Walaubagaimanapun, terdapat satu kelemahan disni, dimana para peserta telah memilih kawan masing-masing semasa memilih meja untuk menjamu selera.  Disini, saya cadangkan supaya peserta-peserta perlu dibahagikan dimana semua kaum dapat menjamu selera dimeja makan yang sama supaya dapat berinteraksi dan memahami tradisi kaum masing-masing yang masih belum difahami oleh sesetengah rakyat Malaysia. 

 

16 – 17 DISEMBER 2008

Pada 16 Disember 2008, saya terasa sangat bertuah untuk melawat Kampung Budaya Sarawak.  Ini adalah pertama kalinya saya melawat rumah-rumah etnik berlainan masyarakat Sarawak.  Pengalaman saya dalam memasuki dan menikmati struktur dan keadaan rumah orang Bidayuh, Iban, Penan, Orang Ulu, Orang melayu dan Orang Cina serta menikmati dan memahami tarian, alat muzik, senjata dan asal-usul setiap etnik memang luarbiasa.  Selain itu, persembahan semua etnik di dewan memang menyeronokkan kerana saya telah dapat melihat dan menikmati tarian dan aksi-aksi hebat semua etnik sekaligus.  Ini merupakan satu kekuatan besar program ini dalam menyebarkan asal-usul setiap etnik masyarakat Sarawak kepada peserta-peserta seperti kami yang berasal dari Semenanjung Malaysia.

Pertandingan Master Malaysia bersama Jiran Muda merupakan satu pengalaman yang menarik.  Saya telah dapat mengenali beberapa peserta dari negeri Sarawak yang memang peramah dan senang difahami.  Saya ketahui bahawa masyarakat di Sarawak lebih peramah berbanding masyarakat di Semenanjung Malaysia yang telah jauh lebih maju dalam bidang sains dan teknologi.     

Semua peserta program lawatan dan peserta Jiran Muda tidak dapat berinteraksi kerana kesingkatan masa untuk berinteraksi dan pemecahan dari segi rakan sebaya.  Oleh yang demikian, saya cadangkan pada program masa depan, masa untuk mengenali satu sama lain dapat dipanjangkan dan para peserta dengan bantuan para pengaturcara perlu memupuk inisiatif untuk mengenali satu sama lain tanpa mengira kaum ataupun jantina untuk mengeratkan perpaduan diantara masyarakat Semenanjung Malaysia dan masyarakat Sarawak.

Walaupun perjalanan kami ke program di Kawasan Rukun Tetangga bersama Jiran Muda di KRT Zon Grogo, Daerah Bau dilengahkan oleh hujan, penyambutan para penduduk di KRT Zon Grogo telah membuat saya terharu kerana walaupun mereka serba kekurangan, mereka mempunyai hati yang baik untuk menolong orang lain.  Penyediaan Majlis Man-Tikuluk-Berambeh / Jalinan mesra memang bagus.  Saya telah menghayati persembahan mereka seperti Tarian Orang Bidayuh, Tarian Semua Etnik dan juga persembahan silat.  Saya juga berasa sangat bertuah kerana dapat menari bersama masyarakat Bidayuh di KRT Zon Grogo yang merupakan satu pengalaman yang menarik.  Tetapi malangnya, kami tak dapat naiki jambatan buluh yang dibina oleh masyarakat disitu sempena kehadiran kami akibat hujan lebat.  Ini menyedikan para peserta serta masyarakat KRT Zon Grogo. 

Kekuatan program ini ialah peserta program lawatan telah dapat memahami dan menghayati tradisi dan adapt resam orang Bidayuh dengan lebih dekat yang menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Walaubagaimanapun, kelemahan yang saya ketahui dalam aktiviti ini ialah penyediaan daging lembu dalam sajian jamu selera yang merupakan makanan yang diharam bagi masyarakat beragama Hindu dan Buddha.  Oleh itu, saya mencadangkan supaya perkara ini diambil perhatian dan dititikberatkan. 

Perjalanan ke Simunjan pula merupakan pengalaman yang luarbiasa kerana telah dapat melihat Gunung Santubong dengan mata sendiri yang sebelum ini saya hanya lihat dalam gambar.  Ketibaan kami ke Rumah Panjang Telagus, Kampung Telagus, Simunjan telah disambut dengan meriah sekali oleh masyarakat Iban dengan cara tradisional mereka, 

Majlis Segulai Sejalai Bersama Warga Rumah Panjang Telagus memang bagus kerana saya telah mendapat peluang buat pertama kali untuk melawat rumah panjang.  Walaupun hujan, aktiviti seperti merebah renyai dan tarian ‘pocok-pocok’ memberi saya satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan selama-lamanya.  Saya juga telah menikmati kemeriahan acara kebudayaan bersama masyarakat setempat dengan menari-nari bersama mereka dan mengenali mereka dengan lebih rapat.

Program Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program lawatan Integrasi Ahli Kelab Rukun Negara ke Sarawak bersama YB Dr Abdul Rahman bin Haji Junaidi, ADUN N.4 Pantai Damai memberikan saya perasaan kesedihan kerana ia melambangkan masa untuk lawatan itu berakhir semakin suntuk.  Walaupun demikian, saya telah berseronok dengan menyanyi lagu ‘Warisan’ dan lagu ‘Sama-sama’ bersama peserta program lawatan dan peserta Jiran Muda Sarawak dan juga menikmati hidangan yang sedap-sedap belaka selain dari daging lembu. 

Antara kekuatan program ini ialah ia telah mengeratkan hubungan silaturahim diantara peserta program lawatan ini dan juga dengan peserta Jiran Muda.  Tetapi kelemahannya ialah penyediaan daging lembu yang menjadi makanan haram agama Hindu dan Buddha sebagai sebahagian daripada menu makanan dan aturcara kedudukan peserta dimana semua peserta Jiran Muda Sarawak ditempatkan di satu meja sementara semua peserta program lawatan di meja berlainan. 

Antara cadangan yang boleh diberi perhatian dan dipertimbangkan ialah penyediaan makanan yang bersesuaian untuk semua kaum dan mengatur cara kedudukan peserta dimana peserta program lawatan dan peserta Jiran Muda duduk bercampuran dimeja yang sama supaya dapat berinteraksi dengan lebih mendalam dan juga menikmati hidangan bersama-sama.  Dengan berbuat demikian peserta dapat bergabung topik perbualan dan pengalaman masing-masing. 

 

18 DISEMBER 2008

Lawatan ke Muzium Sarawak pada 18 Disember 2008 memberi satu pengalaman yang baru.  Maklumat tentang alat-alat muzik, senjata, sejarah etnik-etnik dan juga asal-usul muzium itu sendiri memberikan satu informasi yang lebih luas tentang kehidupan etnik-etnik di Sarawak pada masa dahulu. 

Selepas itu, semasa saya ‘check out’ dari Hotel Grand Continental, airmata mula berlinangan dari mata saya kerana saya telah mula merindui Sarawak.  Tetapi saya telah menenangkan diri saya dengan menyatakan dalam hati bahawa saya akan datang semula ke Sarawak pada masa hadapan walau macamana pun sekali lagi. 

Penerbangan balik ke Kuala Lumpur tidak seseronok seperti penerbangan ke Kuching kerana berat hati meninggalkan bumi Sarawak.  Saya bertekad akan pergi ke Sarawak sekali lagi pada masa akan datang. 

 

KESIMPULAN

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional kerana memberi saya satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan seumur hidup saya.  Saya berhutang budi kepada JPNIN dan berjanji akan menyebarkan segala ilmu, pengajaran dan pengetahuan yang saya perolehi semasa di Sarawak.

Sekian, laporan saya.

Sila klik link untuk ke galeri gambar.

 

 
< Prev   Next >