|
Kursi Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd. Ali Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM) telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah kursi "endowment” yang diberi nama Kursi Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd. Ali, di Universiti Malaya. Nama Dr. Siti Hasmah untuk kursi ini dipilih sebagai tanda rasa hormat dan kagum persatuan terhadap seorang yang telah banyak berbakti kepada negara, terutama dalam bidang hal ehwal wanita dan kanak-kanak. Penamaan ini juga merupakan ucapan terima kasih yang amat mendalam atas naungan beliau kepada persatuan. Kursi ini diwujudkan bagi menghormati sumbangan dan kejayaan wanita Malaysia dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, terutama dalam bidang sains dan teknologi dan sekaligus memberi dorongan tambahan kepada mereka. Ini difikirkan perlu memandangkan betapa pesatnya dunia ilmu pengetahuan pada masa ini, terutama dalam bidang sains dan teknologi, selaras dengan kepesatan dunia ilmiah itu sendiri, ditambah dengan hasrat negara untuk menghadapi cabaran alaf baru serta memenuhi matlamat Wawasan 2020. Projek Kursi Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd Ali telah dimulakan pada tahun 1996 dengan penubuhan Tabung Dasiswa PSWM. Berkat sumbangan murni daripada pelbagai pihak, kursi tersebut telah berjaya ditubuhkan dan ditempatkan di Universiti Malaya kerana statusnya sebagai universiti pertama ditubuhkan di negara ini. Namun begitu, pemegang kursi tidak terhad kepada profesor wanita daripada universiti ini sahaja, malahan terbuka kepada universiti-universiti di Malaysia atau diluar negara. Penyandang Pertama Kursi ia itu Prof. Dr Hajah Halijah Ibrahim,Ph.D (Newcastle, UK), B.Sc. (UM) telah diperkenalkan disuatu majlis yang dihadiri oleh Penaung PSWM, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd. Ali pada 26 ogos 2003. Kajian yang dijalankan oleh Prof. Dr. Hajah Halijah bertajuk ‘Biodiversity Studies and Bioprospecting of Zingiberaceae Species for Selected Medicinal Properties’ dan telah tamat pada 2007 dengan penghasilan 2 buah buku masing-masing bertajuk “Selected Malaysian Aromatic Plants And Their Essential Oil Components” dan “Women in Science – A Preliminary Checklist of Professors and Associate Professors in Malaysian Public Universities”. Penyandang Kedua Kursi ialah Dr. Nik Meriam Nik Sulaiman, Profesor, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Malaya, merangkap Pengerusi Kluster Penyelidikan “Sustainability Science” yang dilantik mulai 10 Mei 2010 selama dua tahun. Kajian yang akan dijalankan oleh beliau bertajuk “Transforming Sustainability Strategy Into Action – The Case For the Malaysian Process Industry”.
Suatu majlis untuk memperkenalkan Dr. Nik Meriam telah diadakan pada 15 Jun 2010 bertempat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan telah turut dihadiri oleh Penaung PSWM, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd. Ali, Pengurusan UM yang diketuai oleh Y.Bhg. Datuk Dr. Ghauth Jasmon, YDP PSWM Y.Bhg. Datin Fauziah Hj. Mohd. Ramly, tetamu-tetamu jemputan dan Ahli PSWM.
|